7 Khasiat Halba (Fenugreek) yang perlu anda tahu

Apa itu Halba?

Dalam bahasa Inggeris, halba dikenali sebagai fenugreek. Ia berbentuk butiran kecil berwarna coklat dan sering digunakan dalam menu berempah terutamanya yang berasal dari Timur Tengah. Di Indonesia, selain digunakan sebagai rempah dalam masakan, halba turut menjadi salah satu ramuan jamu. Halba juga ada digunakan sebagai kandungan dalam sabun atau syampu.

Pokok halba mampu mencapai ketinggian sehingga 90 sentimeter. Berdaun hijau, mempunyai bunga kecil berwarna putih, serta lengai yang mengandungi biji berwarna coklat keemasan.

Kekayaan khasiat rempah halba telah menjadikannya bahan dalam terapi perubatan tradisional China, Arab, dan India. Mari kita lihat apakah khasiat-khasiat halba.

1. Meningkatkan penghasilan susu ibu

Bagi memastikan perkembangan dan tumbesaran yang terjamin untuk bayi, susu ibu adalah sumber nutrisi yang terbaik. Namun begitu, ada segelintir ibu yang mungkin mengalami kesukaran untuk menghasilkan susu yang cukup.

Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa halba mungkin berpotensi menjadi alternatif yang selamat dan semula jadi untuk meningkatkan susu ibu. Antaranya, kajian selama 2 minggu ke atas ibu yang baru melahirkan menunjukkan bahawa pengambilan teh herba bersama biji halba menyebabkan pengeluaran susu ibu yang lebih banyak.

2. Membantu mengawal kencing manis

Dalam satu kajian terhadap pesakit kencing manis jenis 2, pengambilan serbuk halba ketika makanan tengahari dan makan malam menyumbang kepada paras gula dalam darah yang lebih terkawal. Kajian lain juga membuktikan bahawa pengambilan halba menurunkan paras gula dalam darah selepas 4 jam dimakan.

Kesan ini dipercayai disebabkan oleh komponen dalam halba yang memperbaik fungsi insulin. Selain itu, kandungan serat larut yang tinggi dalam halba juga mungkin menyumbang kepada khasiat ini kerana ia melambatkan penghadaman dan penyerapan karbohidrat. Namun, pesakit diabetes yang mengambil ubat perlulah mengawal kuantiti pengambilan halba agar tidak berlebihan sehingga menyebabkan hipoglisemia.

3. Mengawal rasa lapar

Sehingga hari ini, terdapat 3 kajian yang menunjukkan bahawa halba dapat mengurangkan rasa lapar dan pengambilan lemak, hingga 17%. Perkara ini mampu membantu memberi rasa lebih kenyang, mengawal pengambilan kalori berlebihan yang boleh membawa kepada kenaikan berat badan, lalu mencegah obesiti.

4. Memperbaiki paras kolesterol
Selain daripada mengawal paras gula, halba juga mampu membantu mengawal paras kolesterol dalam darah. Penyelidik di India mendapati bahawa apabila 100 gram serbuk halba ditambah ke dalam hidangan pesakit diabetes, jumlah kolesterol keseluruhan dan kolesterol buruk semakin berkurangan.

5. Mencegah keradangan
Kandungan antioksida, vitamin, serta mineral di dalam halba menyumbang kepada kesan anti-keradangan. Komponen tersebut menghalang pembentukan radikal bebas lalu melindungi sel badan daripada kerosakan.

6. Meningkatkan penghasilan sperma
Pada tahun 2017, satu kajian telah dijalankan ke atas 50 sukarelawan lelaki. Mereka diberi ekstrak biji halba selama 12 minggu. Di akhir kajian, bilangan sperma dalam 85% daripada peserta tersebut telah meningkat.

7. Melegakan kesakitan

Dalam perubatan tradisional, halba digunakan untuk melegakan kesakitan. Penyelidik mempercayai bahawa komponen di dalam herba ini dapat menghalang penerima deria kesakitan.

Kajian dijalankan dengan memberi kapsul halba sebanyak tiga kali sehari kepada wanita yang mengalami kesakitan semasa haid. Hasilnya, mereka mengalami kesakitan yang berkurangan.

Kesan Sampingan dan Keselamatan

Walaupun terdapat pelbagai khasiat daripada pengambilan halba, ia juga mengakibatkan alahan dalam segelintir individu. Sungguhpun jarang berlaku, individu yang alah terhadap halba perlulah mengelakkannya.

Halba juga mungkin mengakibatkan beberapa kesan sampingan seperti cirit-birit, loya, sakit kepala, terutamanya jika diambil dalam jumlah banyak. Selain itu, ibu mengandung juga tidak digalakkan untuk mengambil halba dalam kuantiti yang tinggi bagi mencegah kontraksi awal dan kecacatan bayi.

Kesimpulan

Halba sememangnya memberi banyak khasiat kepada kesihatan tubuh kita. Namun, ambillah secara bersederhana terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti pesakit kencing manis. Sentiasa rujuk kepada doktor dan pakar pemakanan bagi mencegah sebarang kesan sampingan.

X